Sultan rasmi Masjid Setia Alam, terima zakat niaga RM38.7 juta

Sultan rasmi Masjid Setia Alam, terima zakat niaga RM38.7 juta

04 April 2024
 

SHAH ALAM, 4 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan Masjid Setia Alam di Seksyen U13 di sini hari ini.
 

Keberangkatan tiba Baginda bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
 

KDEB-P-SultanSetiaAlam-cover-1.jpg
DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menandatangani plak perasmian ketika majlis perasmian masjid, berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Aidilfitri di Masjid Setia Alam, Shah Alam pada 4 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI


Sultan Sharafuddin kemudian berkenan menamakan Masjid Setia Alam yang mampu menampung sehingga 3,000 jemaah serta melafazkan titah perasmian sebelum menandatangani plak bagi menyempurnakan majlis itu.
 

KDEB-P-SultanSetiaAlam-img1.jpg
DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan memberi lafaz akad zakat KDEB Waste Management Sdn Bhd ketika majlis perasmian masjid, berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Aidilfitri di Masjid Setia Alam, Shah Alam pada 4 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 

Masjid yang dibina di kawasan seluas lima ekar melibatkan kos keseluruhan RM17.7 juta merangkumi dana Kerajaan Negeri sebanyak RM14 juta manakala RM3.7 juta lagi daripada sumbangan orang ramai.


Sultan Selangor turut menyampaikan sumbangan Hari Raya berjumlah RM234,000 kepada 468 penerima daerah Petaling membabitkan 146 asnaf fakir, 270 asnaf miskin dan 52 saudara baharu.


Baginda turut berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM38.76 juta daripada enam organisasi iaitu Lembaga Tabung Haji (RM28.42 juta), Tenaga Nasional Berhad (RM5.76 juta) dan CIMB Islamic Bank (RM1.5 juta).
 

KDEB-P-SultanSetiaAlam-img2.jpg
DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis perasmian masjid, berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Aidilfitri di Masjid Setia Alam, Shah Alam pada 4 April 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 

Selain itu KDEB Waste Management Sdn Bhd (RM1.03 juta), UMW Corporation Sdn Bhd (RM1.05 juta) dan KMF Network (RM1 juta).


Sultan Sharafuddin kemudiannya berkenan berbuka puasa, menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih berjemaah di masjid berkenaan bersama rakyat sebelum berangkat pulang.

Back