Managing Director Statement

Managing Director Statement


PERUTUSAN TAHUN 2023 PENGARAH URUSAN KDEB WASTE MANAGEMENT

Bismillahirrahmannirrahim
Assalammualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

  1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat
  2. Allah S.W.T. atas limpah dan inayahNya kerana kita diberikan kesempatan dan
    keupayaan untuk bersama-sama melangkah ke gerbang Tahun Baharu 2023.
  3. Berbekalkan keyakinan ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada seluruh warga
  4. Saya juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pasukan Pengurusan , seluruh warga kerja, para subkontraktor, serta semua petugas sama ada krew atau pemandu Kompaktor atau Armroll yang telah melaksanakan tugas dengan komited sepanjang tahun 2022 terutama ketika menghadapi cabaran Pembersihan pasca banjir di Negeri Selangor. Kepada Allah SWT saya panjatkan setinggi-tinggi rasa syukur atas segala pertolongan serta bantuan yang telah dipermudahkan Allah SWT kepada kita semua dalam menjalankan tugas-tugas kita sepanjang tahun lalu.
  5. Terima kasih juga kepada semua pihak dan kepada semua rakyat negeri Selangor yang sentiasa bekerjasama dan menyokong KDEBWM dalam menguruskan sisa pepejal di Negeri Selangor. Sesungguhnya kita semua mempunyai komitmen yang amat tinggi dalam menjalankan tugas dan amanah rakyat dalam menguruskan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di Negeri Selangor. Tahniah dan syabas saya ucapkan.


RUMUSAN 2022

  1. Alhamdulillah, sepanjang tahun 2022, KDEBWM telah menjalankan tanggungjawab memberikan perkhidmatan kutipan sisa pepejal domestik dan pembersihan awam dengan sebaik mungkin. Terima kasih kepada Encik Ahmad Rizal Mohd Daud, Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan pasukannya yang bekerja keras mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat bagi sepanjang tahun 2022.
  2. Tahun 2022 menyaksikan Majlis Perbandaran Klang (MPK) memperbaharui kontrak bersama KDEBWM selama tujuh tahun lagi. Kepercayaan kepada KDEBWM diteruskan lagi apabila Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) telah melantik syarikat bagi skop kerja-kerja baharu iaitu pembersihan pantai dan Kampung Tradisi pada suku ketiga 2022.
  3. Pihak KDEBWM diketuai oleh Pengurus Besar Operasi, Encik Mohd Idris Mohamed Yusof turut mengintai peluang untuk meluaskan operasi di peringkat antarabangsa dengan menyertai proses pembidaan di Karachi, Pakistan dan di Bahrain.
  4. Dalam pada itu, kita sekali lagi berjaya membuktikan kesiapsiagaan yang tinggi apabila menjadi responden terawal bagi menyelamatkan mangsa banjir kilat yang berlaku baru-baru ini. Khidmat ini diteruskan dengan membantu melaksanakan pembersihan kawasan serta baik pulih kediaman yang musnah akibat bencana tersebut. Namun begitu, KDEBWM tidak mengambil mudah. Pihak kami konsisten menjalankan kerja pembersihan longkang dan kutipan sampah pukal mengikut jadual bagi memastikan sistem saliran tidak tersumbat sekali gus mencegah risiko banjir. KDEBWM bersiap siaga dengan lebih 1,800 anggota bagi menghadapi kemungkinan banjir di samping telah memastikan 500 lori RORO, backhoe, excavator dan lori panjang sentiasa bersiap sedia untuk digunakan.
  5. Terima kasih diucapkan kepada warga kerja KDEBWM, Subkontraktor, kru pembersihan yang telah memberikan sepenuh komitment menjayakan misi operasi pembersihan ini. Syabas, terima kasih dan tahniah kepada semua dan kekalkan semangat bekerja berpasukan seperti ini demi memastikan syarikat ini terus memacu kejayaan demi kejayaan.

 
PROJEK WTE: SELANGOR GREEN ENERGY ECOPARK

  1. KDEBWM sentiasa meneroka peluang untuk penambahbaikan yang strategik dalam mencapai status negara maju dan pengurusan sisa pepejal yang lebih mapan. Sejajar dengan pertambahan penduduk dan kepesatan pembangunan dan pembandaran, perubahan sosio-ekonomi penduduk, kemajuan teknologi dan perubahan persekitaran menuntut persekitaran yang bersih dan sihat.
  2. Usaha KDEBWM mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri Selangor menerusi pembangunan prasarana untuk Projek Selangor Green Energy Ecopark di Rawang yang bernilai RM4.5billion. Bagi projek tersebut, Kerajaan Negeri telah  meluluskan cadangan projek tersebut dengan penyediaan tanah yang berkeluasan 245 ekar. Projek sisa kepada tenaga (WTE) berkenaan dijangka mempercepat penggunaan teknologi moden dalam menangani isu pelupusan sampah berikutan tapak sedia ada tidak dapat menampung sisa yang dijana pada masa hadapan.
  3. Projek ini akan menjadi EcoPark Tenaga Hijau yang pertama dan terbesar di Malaysia dan Selangor. Ia akan membolehkan Selangor menubuhkan Pusat Kecemerlangan untuk penyelidikan dan pembangunan dalam tenaga hijau. Selangor bakal menjadi negeri pertama dan perintis untuk menceburi tenaga hijau serta penyelidikan dan pembangunan di Malaysia. Penerima manfaat utama ialah universiti dan institusi pendidikan (sekitar lebih 500 pelajar kejuruteraan akan mendapat manfaat daripada R&D dan tenaga hijau setiap tahun).
  4. Selangor ketika ini menjana sekitar 6,597 tan sisa sehari (sisa tertinggi yang dihasilkan oleh Negeri di Malaysia). Projek ini mampu mengurangkan jumlah sisa yang dilupuskan ke tapak pelupusan sampah (mengurangkan sekitar 48.5% daripada sisa yang dilupuskan ke tapak pelupusan sampah yang bersamaan dengan sekitar 400 ekar penjimatan tanah). Ia turut akan menjana 122.5MW tenaga hijau untuk memenuhi unjuran pertumbuhan tenaga dan permintaan di Selangor.
  5. Sewaktu fasa pembinaan, adalah dijangkakan bahawa lebih 1,800 kakitangan akan diperlukan di tapak pembinaan. Semasa peringkat operasi, adalah dijangkakan bahawa lebih 650 kakitangan akan diperlukan untuk menjalankan operasi harian kemudahan. Keutamaan pekerjaan akan diberikan kepada penduduk tempatan supaya pekerja mahir dalam bidang pembinaan dan pembangunan projek dalam tenaga hijau akan diwujudkan. Projek ini akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan kerana syarikat lain akan tertarik ke lokasi tersebut dan membuka kedai di sekitar lokasi itu, justeru, meningkatkan pendapatan masa depan untuk perbandaran juga negeri.
  6. Projek Selangor Green Energy Ecopark akan meningkatkan imej hijau di Malaysia dan Selangor dengan membantu negara mencapai 20% tenaga elektrik dijana daripada tenaga yang boleh diperbaharui menjelang 2025. Pemulihan tenaga sebanyak 122.5MW (sekitar 980 GWj setahun) mampu mengimbangi 424,340 tan gas rumah hijau bersamaan dengan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 91,453 kenderaan penumpang biasa, pelepasan karbon dioksida daripada pembakaran bahan api fosil sebanyak 212,170 metrik tan arang batu dan pelepasan karbon dioksida daripada pengecasan 52 bilion untuk telefon pintar.
  7. Saya mendoakan agar projek Selangor Green Energy Ecopark yang diketuai oleh Pengurus Besar Projek WTE, Hj Hairi Ali dan pasukannya dapat dilaksanakan dengan jayanya.


KOMITED MEMACU EKONOMI KITARAN

  1. Konsep ekonomi kitaran atau circular economy merupakan konsep guna, pulang dan cipta semula. Untuk melaksanakan industri ekonomi kitaran ini, ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Saya teruja melihat lebih banyak inisiatif bagi memacu ekonomi kitaran pada tahun 2022 telah dilaksanakan antaranya pembukaan Pusat Kitar Semula Cyberjaya di Persiaran Rimba Permai, Cyberjaya yang berkonsepkan Buy Back Centre buat komuniti sekitar.
  2. KDEBWM turut bekerjasama dengan Kloth Cares telah menyediakan tong kitar semula fabrik di lobi Menara Bank Rakyat Shah Alam. Ia adalah tong kedua yang mana tong pertama diletakkan di pusat kitar semula komuniti di Cyberjaya yang mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Sepang. Tong itu boleh diisi dengan pakaian, tudung, kasut, beg, tali pinggang, cadar dan mainan lembut yang tidak digunakan lagi. Terima kasih dan syabas kepada mereka yang terlibat.
  3. Pada masa ini KDEBWM memiliki dua Pusat Kitar Semula iaitu di Bandar Bukit Puchong dan di Taman Perindustrian Meru, Jalan Korporat Meru Klang. Pusat Kitar Semula berskala besar ini perlu dijadikan contoh untuk KDEBWM berkembang dan mewujudkan lagi pusat-pusat kitar semula di semua 12 PBT di negeri Selangor ini.
  4. Sasaran kini adalah menambah lagi 10 bilangan pusat-pusat kitar semula yang boleh menyumbang kepada pendapatan Syarikat. Saya doakan projek ini yang diketuai oleh En Ahadi Hj Mohd Nasir selaku Pengurus Besar Pengurusan Subsidiari & Pelaksana Projek bersama-sama pasukannya akan mampu menjayakan tugasan ini.
  5. KDEBWM turut melancarkan aplikasi pintar iClear Selangor bertujuan memudahkan operasi KDEBWM memantau kerja-kerja kontraktor dan pekerja operasi melakukan kutipan domestik dan pembersihan awam di seluruh Selangor melibatkan kawasan 12 PBT. Aplikasi pintar iClear Selangor dapat mengurangkan penggunaan kertas dalam operasi harian seiring dengan usaha syarikat memacu pendigitalan operasi. Kini, laporan kerja boleh dibuat dengan lebih efisien dan tanpa kertas menggunakan aplikasi pintar iClear Selangor yang dilengkapi ciri penjadualan, kamera serta Sistem Penentududukan Global (GPS). Ciri lain seperti papan pemuka (dashboard) dan analisis data seterusnya memantapkan lagi operasi keseluruhan syarikat supaya berada di paras optimum.


PEMBANGUNAN MODAL INSAN, KOD ETIKA DAN TANGGUNGJAWAB WARGA KERJA 

  1. Pembangunan modal insan adalah sangat penting bagi memastikan syarikat mempunyai warga kerja yang berprestasi tinggi, berkemahiran, berilmu, berperibadi baik, berdisiplin, dan memahami hasrat hala tuju syarikat. Ketika ini keseluruhan warga kerja KDEB Waste Management dan subsidiari memiliki hampir 500 orang warga kerja lantikan terus. Kekuatan modal insan seramai ini mestilah dilatih dengan baik dan betul agar mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan cemerlang serta taat setia dengan syarikat agar bersama-sama menyokong usaha dan aspirasi yarikat.
  2. Pada pandangan saya, semua warga kerja telahpun dinilai dengan baik dan diberikan ganjaran yang setimpal setiap tahun melalui pemberian bonus prestasi dan kenaikan gaji setimpal dengan usaha dan tangungjawab yang telah digalas. Peluang-peluang kenaikan pangkat dan kemajuan kerjaya sentiasa diberikan berdasarkan kelayakan, kemampuan dan kekosongan serta keperluan syarikat.
  3. Saya mengingatkan semua warga kerja KDEBWM dan anak syarikat supaya sentiasa mengamalkan budaya kerja yang betul dan professional. Disiplin yang baik mestilah dipamerkan setiap masa terutama semasa menjalankan tugasan masing-masing.


PENAMBAHBAIKAN PERKHIDMATAN KUTIPAN DOMESTIK DAN PEMBERSIHAN AWAM

  1. Walaupun telah lebih lima tahun KDEBWM menguruskan perkhidmtaan kutipan sisa domestk dan Pembersihan awam di seluruh Negeri Selangor, saya mohon agar kita semua jangan lupa dan leka dalam melaksanakan tugasan di lapangan. Ketua-ketua cawangan, Eksekutif Operasi, Penyelia Kawasan, Pembantu Pentadbiran di Pejabat-pejabat cawangan agar tidak bergantung kepada subkontraktor semata-mata dalam melakukan tugasan kutipan dan pembersihan.
  2. Pastikan jadual kerja yang betul, pemantauan dari dekat bukan dari kejauhan dan mesti tangkas di lapangan. Setiap aduan mestilah diselesaikan secepat mungkin mengikut SOP yang telah ditetapkan. Saya mengharapkan hubungan kerjasama yang baik di pihak para Penyelia Kawasan, subkontraktor, PBT, penduduk di zon masing-masing bagi memudahan melaksanakan tugasan.
  3. Sebagai anak syarikat KDEBWM, saya berharap KDEB Services dan KDEB ICI menjadi kontraktor contoh kepada 1,000 subkontraktor yang lain, dalam semua aspek pentadbiran, visi dan misi perniagaan, perkhidmatan dan etika pekerjaan. Disiplin dan integriti yang tinggi mestilah sentiasa menjadi pegangan dan saya berdoa agar kedua-dua subsidiari mampu bergerak maju seiring dengan KDEBWM.
  4. Saya yakin di bawah kepimpinan Encik Ahadi Hj Mohd Nasir dibantu oleh Encik Khairil Khalid serta pasukannya, KDEB ICI dan KDEB Services akan mampu berdiri gagah standing KDEBWM.


PENYELENGGARAAN ASET-ASET KDEBWM

  1. Ketika ini, KDEBWM memiliki hampir 1,000 unit lori Kompaktor dan Armroll yang bergerak di seluruh 12 PBT di Negeri Selangor. Aset-aset ini mestilah dijaga dan disenggara dengan baik agar mampu digunakan untuk operasi harian. Pihak Operasi Cawangan-cawangan mestilah berkerjasama rapat dengan pihak Jabatan Teknikal & Peralatan, bagi mendapatkan nasihat dan pandangan untuk memastikan lori-lori ini sentiasa dalam keadaan baik dan mematuhi piawaian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia.
  2. Perlu diingatkan bahawa penyelenggaran asset adalah penting bagi memastikan lori berada dalam keadaan baik ketika beroperasi, sekali gus menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Saya meminta agar pihak terlibat memastikan pemandu-pemandu hakiki atau gantian diberikan latihan dan maklumat yang tepat dalam penggendalian lori-lori Kompaktor dan Armroll KDEBWM.


PENGUKUHAN JENAMA DAN IMEJ KDEBWM

  1. Alhamdulillah, nama KDEBWM kini bukanlah satu nama yang asing lagi. Terima kasih kepada usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Penolong Pengurus Besar, Komunikasi Korporat Puan Hajah Mahfuzah Muhammad Tarmidi dan pasukannya. Pelbagai bentuk aktiviti penyebaran makluman, kempen, strategi komunikasi telah dijalankan oleh pihak Syarikat dalam usaha menyebarkan aktiviti-aktiviti syarikat sepanjang tahun termasuk mempromosikan aplikasi pintar, iClean Selangor kepada orang ramai. Pihak KDEBWM turut mendidik rakyat atau pengguna mengenai betapa pentingnya mengasingkan sisa pepejal, menjaga kebersihan longkang dan mengamalkan kitar semula.
  2. Divisyen Komunikasi Korporat sentiasa menyambut baik dan menyokong program-program anjuran syarikat induk, MBI Selangor dengan membuka reruai di Jelajah Selangor Penyayang yang terbahagi kepada 10 siri di seluruh Selangor. Antara program lain seperti Pesta Buku Antarabangsa (Kuala Lumpur dan Selangor), Selangor International Business Summit. Penyertaan ini bertujuan untuk memberi penerangan kepada orang ramai tentang aplikasi iClean Selangor dan memberi kesedaran tentang 5R.
  3. Dalam pada itu, liputan-liputan media yang berimpak positif telah menempatkan KDEBWM sebagai syarikat berkaitan kerajaan yang unggul di Malaysia serta sebagai pemain penting dalam industri Pengurusan Sisa Pepejal Pintar di negara ini. KDEBWM telah pun menjadi satu jenama yang baik dan kukuh di Selangor dan sudah tidak asing lagi menjadi sebutan pihak media. Dalam masa sama, kami menerima kritikan dan sebarang komen yang membina bagi menambahbaik kualiti perkhidmatan pada masa akan datang.
  4. Pada zaman digital dan media sosial ini, saya ingin mengingatkan semua warga kerja agar berhati-hati menggunakan platform media sosial dan sentiasa menjaga imej syarikat. Semoga kita terus waspada dengan tindakan dan tata kelakuan kita agar tidak tular dan menjejaskan nama baik sendiri dan syarikat.


PENCAPAIAN DAN PENGIKTIRAFAN TAHUN 2022

  1. Alhamdulillah, KDEBWM sekali lagi memenangi anugerah berprestij iaitu Anugerah International Business Review ASEAN 2022 bagi Kecemerlangan Korporat dalam Sektor Utiliti bagi Pengurusan Sisa Pepejal Pintar oleh The IBR Asia Group. Penganugerahan itu adalah hasil komitmen syarikat dalam memastikan standard pengurusan tadbir urus korporat tertinggi serta pelaksanaan amalan terbaik dalam segala aspek perniagaan kumpulan. Ia juga merupakan bukti kejayaan syarikat dalam menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal pintar yang memberi nilai tambah terhadap kualiti hidup masyarakat.
  2. KDEBWM pada tahun ini telah menerima pensijilan ISO 45001 daripada NIOSH Certification Sdn Bhd.


KESIMPULAN

  1. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2023 yang lebih cemerlang kepada semua warga kerja KDEBWM, KDEB Services dan KDEB ICI. Semoga KDEBWM, KDEB Services dan KDEB ICI. akan terus maju dan menjadi pemain industri terbaik di Negeri Selangor dan di Malaysia.
  2. Semoga setiap langkah yang kita ambil adalah langkah ke arah kejayaan dan kecemerlangan. Dan semoga segala usaha murni kita untuk memartabatkan perkhidmatan khususnya dalam Pengurusan Sisa Pepejal ini diberkati Allah SWT dan mencapai matlamat dengan jayanya.

 

Mengambil air dari perigi,
Air diletak di dalam tempayan,
Terus berusaha tingkatkan prestasi,
Perkhidmatan kepada rakyat perlu dipastikan.

Wabillahitaufik walhidayah wassallamualaikum warahmatullah hi wabarakatuh.
Terima kasih.

“Together We Keep Selangor Clean”
DATO’ HJ RAMLI MOHD TAHIR (D.S.I.S), (SELANGOR)
Pengarah Urusan