Selangor akan laksana libat urus dengan penduduk berkaitan isu insinerator

Selangor akan laksana libat urus dengan penduduk berkaitan isu insinerator

22 January 2024
 

Kuala Lumpur: Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan libat urus melalui KDEB Waste Management bersama penduduk Rawang berkaitan bantahan pembangunan loji 'waste-to-energy' (WTE) atau loji rawatan termal (insinerator) di kawasan terbabit.

Amirudin-Shari-1.jpg


Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, libat urus itu untuk memberikan maklumat tepat berkaitan perancangan pembangunan loji berkenaan.


Menurut beliau, teknologi yang dirancang untuk pembinaan loji itu bukan yang digunakan daripada zaman 70-an atau 80-an.
 

"Industri WTE sudah dibangunkan di negara maju dengan teknologi mampan yang tidak memberikan kesan negatif kepada alam sekitar.

"Ia dilaksanakan bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pembuangan sampah di tapak pelupusan sampah yang akhirnya akan memberikan kesan buruk kepada komuniti," katanya pada kenyataan, hari ini.
 

Semalam, Harian Metro melaporkan, Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI), pihak yang menyelaras usaha menolak cadangan projek pembinaan insinerator, kesal kerana bantahan penduduk tidak diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri.


Bantahan itu dibuat penduduk yang menetap di sekitar tapak projek iaitu Batu Arang, Bandar Tasik Puteri, Kota Puteri, Bandar Country Home dan M Residence kerana ia dikatakan memberi impak sosial selain berhampiran rumah ibadat, kediaman selain sekolah.


Mereka mendakwa, ia akan menyebabkan bau busuk daripada sisa buangan, kesesakan lalu-lintas kerana banyak lori sampah akan melalui kawasan itu setiap hari sekali gus nilai tanah dan hartanah menyusut serta kehilangan kawasan hijau.

Back