Pusat kitar semula pandu lalu peluang jana duit dari ‘sampah’

Pusat kitar semula pandu lalu peluang jana duit dari ‘sampah’

25 March 2024
 

SEPANG, 25 MAC: Pusat kitar semula pandu lalu automatik (ATDReC) pertama dibuka di Cyberjaya bagi kemudahan orang ramai selain meningkatkan kesedaran amalan kitar semula.

Berkonsepkan ‘dibuat individu dengan yakin’ (DIY), inisiatif itu menurut pengarah urusan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) turut membantu masyarakat menjana duit melalui ‘sampah’.

 
KDEB-Kitar-Semula-cover-1.jpg
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato’ Abd Hamid Hussain melakukan imbasan kod QR sambil disaksikan Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Dato’ Ramli Mohd Tahir ketika majlis pelancaran Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTReC) oleh KDEBWM di Pusat Kitar Semula Cyberjaya (PKSC), Sepang pada 25 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI


Dato’ Ramli Mohd Tahir menjelaskan binaan bernilai RM50,000 yang beroperasi 24 jam setiap hari tanpa pekerja juga dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), lampu, kipas dan wi-fi.


“Penduduk yang ingin menggunakannya perlu mendaftar melalui aplikasi Trash4Cash, kemudian isi nama, nombor telefon dan no ahli Trash4Cash atas pita pelekat di plastik buangan masing-masing.
 

KDEB-Kitar-Semula-img1.jpgYang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang Dato’ Abd Hamid Hussain melakukan gimik pembuangan barangan kitar semula ketika majlis pelancaran Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTReC) oleh KDEBWM di Pusat Kitar Semula Cyberjaya (PKSC), Sepang pada 25 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
 

“Seterusnya masukkan bahan yang ingin dikitar semula ke kontena yang disediakan,” kata Dato’ Ramli Mohd Tahir menambah pusat berkenaan turut diselenggara Bumi Waste Management Sdn Bhd.


Ditemui selepas majlis pelancaran ADTReC di sini hari ini, Ramli berkata bayaran bagi bahan kitar semula akan dibuat secara dalam talian dalam tempoh 48 jam selepas proses ditentusahkan.


Jelasnya lagi, kadar ditetapkan mengikut harga pasaran semasa antaranya 10 sen bagi satu kilogram kertas campur, kertas hitam/putih (30 sen/kg), surat khabar lama (35 sen/kg) dan wayar (RM1/kg).


Selain itu, minyak masak terpakai (RM2.70/kg), tin aluminium (RM2.30/kg), bateri kenderaan (50 sen/kg), sisa elektronik campur (20 sen/kg), cakera padat (40 sen/kg) dan kompresor (RM7/unit).


“Selepas bahan kitar semula dikutip pihak operator, pengesahan akan dibuat dengan membuat panggilan, pemeriksaan dan timbangan bagi pengesahan,” kata Ramli lagi.

Back