MPS PBT Kedua Tandatangan SST Lanjut Kontrak KDEBWM

MPS PBT Kedua Tandatangan SST Lanjut Kontrak KDEBWM

28 February 2024
 

BANDAR BARU SELAYANG, 28 Feb (Malaysiaaktif) – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) kedua di Selangor menandatangani Surat Setuju Terima (SST) dengan KDEB Waste Management (KDEBWM) untuk sambungan perkhidmatan kutipan sisa domestik dan pukal.


MPS-PBT-Kedua-Tandatangan-SST-Lanjut-Kontrak-KDEBWM-01b-1.jpg


SST berkenaan merupakan lanjutan daripada kontrak perkhidmatan KDEBWM yang sedia ada di MPS yang sebelum ini bermula pada 1 Mac 2017 dan akan berakhir pada 29 Februari 2024.


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim, berkata ia merupakan hari bersejarah untuk MPS memenuhi impian kerajaan Selangor memastikan pengurusan sampah lebih teratur.


“Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) telah menandatangani SST dengan KDEBWM pada Oktober tahun lepas dan diikuti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada petang ini.


“Kita akan pastikan 12 PBT di Selangor selesai tandatangan SST kerana ia berdasarkan tempoh kontrak yang berperingkat,” katanya.


Suee Lim berkata demikian kepada media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani SST dan Pelancaran lori kompaktor di Menara MPS, di sini hari ini.


Turut hadir Yang Dipertua MPS Datuk Mohd Yazid Sairi dan Pengarah Urusan KDEBWM Datuk Ramli Mohd Tahir.


Sementara itu Ramli, berkata kontrak baharu di kawasan pentadbiran MPS itu selama tujuh tahun dan akan bermula secara rasmi pada Mac ini sehingga 2031.


Menurutnya, sejumlah 49 kompaktor dan 20 unit lori armroll akan digunakan di kawasan pentadbiran MPS bagi kutipan sisa domestik dan sampah pukal.


“Kos pembelian RM23.5 juta membabitkan RM20 juta bagi kompaktor manakala baki kos pembelian lori armroll.


“Penggantian lori baharu ini mempunyai kapasiti antara 18 hingga 19 tan yang saiznya tidak terlalu besar dan sesuai digunakan untuk jalan kecil dan besar,” jelasnya.

Back