LZS kutip zakat berjumlah RM791 juta tahun ini

LZS kutip zakat berjumlah RM791 juta tahun ini

20 December 2023
 

Shah Alam: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mencatatkan kutipan zakat berjumlah RM791 juta membabitkan 328,000 pembayar zakat termasuk individu dan syarikat korporat sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM116 juta zakat perniagaan diterima dari Januari tahun ini hingga November lalu.
 

hm273zpend_1703051645-1.jpg
SABIRIN (kiri) diiringi Tan Sri Syed Anwar (tengah) menerima penyerahan bayaran zakat daripada Datuk Ramli Mohd Tahir di Wisma PKPS Shah Alam. FOTO Faiz Anuar
 

Menurutnya, zakat perniagaan adalah kedua tertinggi bagi keseluruhan kutipan LZS selepas zakat pendapatan di Selangor, setakat ini.
 

"Tahun ini, zakat perniagaan disasarkan sebanyak RM167 juta, jadi kami sangat optimis boleh mencapai melebihi sasaran, bagaimanapun kita teruskan usaha untuk mencapainya.
 

"Pembayar zakat perniagaan bermula dari sekecil-kecil penjaja tepi jalan, syarikat milikan persendirian, syarikat sendirian berhad, anak syarikat kerajaan negeri (GLC) malah peniaga dalam talian turut membayar zakat perniagaan.
 

"Dan pada hari ini, kita menyaksikan penyerahan zakat perniagaan daripada 35 syarikat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM19.6 juta. Alhamdulillah," katanya.
 

Beliau berkata demikian selepas majlis Iktiraf Muzakki dan Penyerahan Zakat (IMTIYAZ) yang disempurnakan oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail di Seksyen 14, di sini, hari ini.
 

Mohd Sabirin, pada tahun lalu, zakat perniagaan menyumbang sebanyak RM166 juta, yang juga sumbangan kedua tertinggi selepas zakat pendapatan.
 

"Semakan data menunjukkan jumlah usahawan Muslim semakin ramai, namun jumlah kutipan zakat perniagaan masih belum mencapai sasaran.
 

"Dengan jumlah asnaf yang kini melebihi 68,000 ketua keluarga, ia dijangka bertambah di seluruh Selangor," katanya.
 

Pada majlis sama, LZS turut menyampaikan pelbagai bantuan zakat dengan jumlah keseluruhan RM51.1 juta.

Back