KDEBWM ambil alih sepenuhnya kutipan sampah di Selangor tahun depan

KDEBWM ambil alih sepenuhnya kutipan sampah di Selangor tahun depan

05 November 2019
 

SHAH ALAM: KDEB Waste Management (KDEBWM) bakal mengambil alih sepenuhnya perkhidmatan pengurusan kutipan sampah domestik di semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor pada Januari 2020.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han, berkata ketika ini hanya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang belum menggunakan perkhidmatan KDEBWM.

 

Ng_Sze_Han_1572936097.jpg

NG Sze Han (kanan) di Bangunan Dewan Negeri Selangor. - Foto NSTP/Saddam Yusoff

 

"KDEBWM sudah beroperasi di 11 PBT di Selangor dan hanya MBSA sahaja belum (menggunakan perkhidmatan KDEBWM).

"KDEBWM akan memulakan perkhidmatan kutipan sampah di MBSA pada Januari tahun hadapan," katanya ketika menjawab pertanyaan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (AMANAH-Meru) yang ingin tahu status perkhidmatan KDEBWM dan bilangan kontrak yang diberikan KDEBWM kepada sub kontraktor.

Mengulas lanjut, Sze Han, berkata KDEB memberikan sebanyak 930 kontrak kepada sub kontraktor untuk menguruskan kutipan sisa domestik dan pembersihan awam.

"Daripada 930 kontrak ini, sebanyak 421 kontrak diberikan untuk kutipan sisa domestik dan 509 kontrak untuk kerja pembersihan awam dan sampah pukal," katanya.

Sumber: BH Online

Back