ADTReC Jimat Kos Pelupusan Sisa Pepejal Sebanyak Setengah Juta Ringgit

ADTReC Jimat Kos Pelupusan Sisa Pepejal Sebanyak Setengah Juta Ringgit

25 March 2024
 
CYBERJAYA, 25 Mac (Bernama) - Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTReC) dijangka dapat membantu Majlis Perbandaran Sepang (MPS) menjimatkan kos pengurusan pelupusan sisa pepejal sebanyak RM500,000 setahun, kata Yang Dipertua MPS Datuk Abdul Hamid Hussain.
 
KDEB-ADTREC-cover-1.jpg
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPS) Datuk Abdul Hamid Hussain melancarkan Pusat Kitar Semula Pandu Lalu Automatik (ADTReC) di Pusat Kitar Semula Cyberjaya hari ini.


Bercakap pada sidang media selepas melancarkan ADTReC pertama di Pusat Kitar Semula Cyberjaya di sini hari ini, Abdul Hamid berkata ia merupakan penjimatan sebanyak 10 peratus daripada RM4.5 juta yang dibelanjakan setahun untuk tujuan tersebut.

“Jumlah ini sangat bermakna, kita boleh manfaatkan untuk bina taman permainan kanak-kanak, baiki jalan, tanam pokok atau apa-apa projek yang boleh memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Untuk jangka masa panjang, ia akan beri lebih penjimatan serta memantapkan pengurusan kita,” katanya.

Mengalu-alukan sokongan daripada penduduk setempat terhadap ADTReC, Abdul Hamid berkata penggunaan fasiliti itu amat mudah kerana ia dilengkapi dengan manual pengguna dan dijamin selamat dengan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

“Sistem ini beroperasi 24 jam dan berkonsep ‘buat sendiri’. Sebagai galakan, orang awam yang ‘memberikan’ barangan kitar semula akan mendapat bayaran mengikut harga yang telah ditetapkan. Tahniah dan terima kasih kepada KDEBWM (KDEB Waste Management) kerana membangunkan sistem ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan KDEBWM Datuk Ramli Mohd Tahir berkata ADTReC yang merupakan hasil binaan anak tempatan yang beroperasi menggunakan tenaga solar itu dibina dengan kos sebanyak RM50,000.

“ADTReC ada tiga ‘bahagian’. Kita anggar boleh muat antara satu dan dua tan (barangan kitar semula). Bila penuh, ‘censor’ akan maklumkan kepada ‘command centre’ dan akan dikutip secepat mungkin,” katanya.

Mengenai kadar bayaran untuk barangan kitar semula, Ramli berkata ia ditetapkan berdasarkan harga pasaran iaitu antara RM0.60 dan RM1 sekilogram bagi barangan plastik.

“Pembayaran dibuat selepas 48 jam proses verifikasi dijalankan dan secara dalam talian,” katanya menambah maklumat pengguna ADTReC direkodkan berdasarkan maklumat yang dimasukkan selepas pengguna mengimbas kod QR sebelum meletakkan barangan kitar semula di fasiliti itu.

Ditanya mengenai rancangan peluasan penempatan ADTReC, Ramli berkata pihaknya menyasarkan untuk menempatkan fasiliti itu di seluruh Selangor pada masa akan datang.

“Kawasan selepas ini mungkin di Bandar Baru Salak Tinggi di Sepang,” katanya menambah ADTReC merupakan suatu kaedah yang baik bagi menggalakkan masyarakat dalam aktiviti kitar semula.

-- BERNAMA
Back