SHAH ALAM, 22 JUN: Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan bantuan kewangan kepada kontraktor yang dilantik KDEB Waste Management (KDEBWM) susulan peningkatan kos diesel bagi memastikan perkhidmatan kutipan sisa pepejal di seluruh Selangor tidak terjejas.
EXCO Kerajaan Tempatan Dato' Ng Suee Lim berkata kontraktor yang mengendalikan lori Roll On Roll Off (RORO) berskala kecil antara yang paling terkesan kerana tidak menerima subsidi diesel seperti lori pemampat sampah yang digunakan untuk kutipan harian dari rumah ke rumah.
“Kita sedang meneliti kaedah untuk membantu kontraktor terus beroperasi dalam tempoh mencabar ini supaya jadual kutipan sampah dan tahap kebersihan awam tidak terjejas,” katanya ketika menggulung perbahasan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 2 di Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Suee Lim berkata Selangor sedang menyediakan garis panduan pengurangan cukai taksiran bagi kediaman mesra alam untuk menggalakkan penggunaan teknologi hijau secara lebih meluas.
Menurutnya, insentif itu dijangka merangkumi pemasangan panel solar, penggunaan peralatan cekap tenaga, sistem penuaian air hujan, pemilikan kenderaan elektrik (EV), amalan kitar semula dan usaha mengurangkan penghasilan sisa domestik.
Beliau berkata Kerajaan Negeri juga akan terus meneliti amalan terbaik di peringkat antarabangsa selain memperkukuh pemantauan terhadap aktiviti sisa elektronik (e-waste) haram termasuk operasi kilang tanpa lesen dan pemprosesan tidak sah.
Pada masa sama, beliau menyokong cadangan Ahli Dewan Negeri Ijok Jefri Mejan supaya Kerajaan Negeri bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi dalam membangunkan penyelesaian tempatan bagi kitar semula bateri dan pengurusan sisa elektronik.
“Cadangan itu amat baik. Kita boleh meneroka kerjasama dengan universiti dan penyelidik bagi mengenal pasti teknologi yang paling sesuai untuk melindungi alam sekitar serta menangani cabaran pengurusan sisa pada masa hadapan,” katanya. Sumber : Selangor pertimbang bantuan kewangan untuk kontraktor KDEBWM terkesan kenaikan diesel