SHAH ALAM: Selangor menerusi KDEB Waste Management (KDEBWM) melancarkan mesin kitar semula, Reverse Vending Machine (RVM) Pintar 5 Dalam 1 yang pertama di Malaysia yang membolehkan pengguna menikmati ganjaran wang sebagai insentif penyertaan.
Pengarah KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, sebagai permulaan, mesin RVM Pintar 5 Dalam 1 yang pertama sudah mula beroperasi di Taman Wawasan, Puchong sejak Ogos yang lalu.
Menurutnya, mesin berkenaan dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (Al) bagi membolehkan pengguna mengitar semula lima jenis bahan kitar semula utama iaitu plastik, kotak, kertas, aluminium, dan minyak masak terpakai.
"Hari ini kita lancarkan RVM Pintar 5 Dalam 1, pada suku pertama tahun hadapan KDEBWM meletakkan sasaran 100 buah mesin ini diseluruh Selangor yang mana kita sedang mengenalpasti lokasi-lokasi bersesuaian seperti pejabat kerajaan, pasar raya, pusat ibadat, dewan komuniti yang mudah diakses oleh masyarakat.
"Setiap mesin ini maksimum bahan kitar semula sehingga 750 kilogram bahan sehari dan sekiranya penuh, sistem akan memaklumkan pusat kawalan kami untuk kutipan segera.
"Mesin ini dilengkapi sensor pintar yang dapat mengesan cubaan penipuan seperti menambah air dalam minyak atau meletakkan objek berat bagi menambah timbangan, selain turut dilengkapi sistem keselamatan dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengelak vandalisme.
"Jika salah penggunaannya, bukan setakat mesin itu tidak akan terima malah ia akan merosakkan mesin berkenaan. Jadi, kepada semua gunakanlah mesin RVM Pintar 5 Dalam 1 Ini dengan baik, baca arahan dengan betul," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis MoA KDEBServices Sdn Bhd bersama HMA Digital dan melancarkan RVM Pintar 5 Dalam 1 di Ibu Pejabat KDEBWM, Seksyen 14 di sini ini.
Ramli berkata, mesin ini membolehkan pengguna mendaftar melalui nombor telefon bimbit, memasukkan bahan kitar semula seperti kertas, plastik, aluminium, kotak kertas dan minyak masak terpakai, sebelum mesin itu berfungsi sebagai penimbang dan merekodkan transaksi secara automatik
"Pngguna yang menghantar bahan kitar semula akan menerima bayaran secara terus ke akaun bank masing-masing dalam tempoh singkat selepas transaksi dibuat.
"Contohnya, jika bahan kitar semula bernilai RM38, pengguna akan menerima bayaran itu secara automatik terus ke akaun bank.Ini salah satu cara kita galakkan rakyat melihat bahawa sisa bukan sampah, tetapi sumber yang bernilai," katanya.
Justeru pada hari ini katanya, KDEWM melalui anak syarikatnya KDEB Services Sdn Bhd hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama HMA Digital Malaysia bagi melancarkan RVM Pintar 5 Dalam 1.
Jelasnya, kerjasama strategik ini juga mengangkat HMA Digital Malaysia sebagai rakan teknologi serta pelaksana utama dalam pembangunan sistem RVM Pintar 5 Dalam 1 yang direka untuk memperkasa masyarakat dalam amalan kitar semula.
"Pelancaran ini turut menandakan sokongan berterusan syarikat terhadap inisiatif hijau dan kelestarian alam sekitar di Selangor malah inisiatif ini adalah salah satu langkah strategik KDEBWM dalam mendidik serta menggalakkan masyarakat melaksanakan kitar semula secara lebih konsisten.
"Melalui teknologi inovatif seperti RVM ini, kami yakin dapat menyahut aspirasi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk mencapai sasaran kadar kitar semula 15 peratus di negeri Selangor.
"Pada masa sama, ia mampu menggalakkan penglibatan aktif masyarakat dalam pengurusan sisa mampan serta memacu negeri Selangor ke arah pembangunan hijau dan lestari," katanya.