SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menjangkakan untuk memuktamadkan ratifikasi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) akhir tahun ini atau selewat-lewatnya pada awal 2025. Pelaksanaan pengurusan sisa pepejal bersama Kerajaan Persekutuan melalui akta tersebut dijangka mengurangkan kos yang ditanggung oleh kerajaan negeri melalui anak syarikatnya Kumpulan Darul Ehsan Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM).
Menurutnya, KDEBWM menanggung kos tambahan RM7 yang menyebabkan syarikat itu mengalami kitaran kewangan ketat dan menyukarkan pelaburan untuk membeli lori, peralatan baharu dan sebagainya.
“Kalau kita lihat macam mana kita uruskan sisa kepada tenaga (WTE), sekali lagi akan menyentuh tentang tarif. Tarif yang ditetapkan oleh Worldwide Holdings Berhad (Worldwide) sebelum ini adalah RM55. Kos itu sudah disubsidi oleh kerajaan negeri. Kalau ikutkan, kadarnya mungkin lebih daripada RM70 hingga RM80.
“Jadi, dengan Akta 672, gap itu akan diisi dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan kita sedia berbincang untuk tujuan itu. Harap, pada akhir tahun ini atau awal 2025 kita selesai,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan Pelancaran Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) 2024 yang akan berlangsung selama lima hari pada 27 November hingga 1 Disember di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC).
Tambahnya, pelaksanaan tersebut bukan sahaja melibatkan kerajaan negeri, malah 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri yang memerlukan penyesuaian terhad ekosistem tadbir urusnya seperti pelantikan, pengurusan dan pemantauan.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerima nota hasrat daripada Kerajaan Negeri Selangor bagi meratifikasi Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
Menterinya, Nga Kor Ming memberitahu, perbincangan bagi penerimaan Akta 672 itu oleh Kerajaan Selangor sedang berjalan dan perkembangannya akan dimaklumkan.
Dalam pada itu, Amirudin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kewangan Selangor menjangkakan dengan menandatangani akta tersebut akan menyelesaikan masalah kos serta kewujudan tapak pelupusan sampah haram di negeri ini.
“Insya-Allah kalau semuanya berjalan dengan baik, antaranya apabila tarifnya rendah, bila kenakan tarif rendah, hasilnya agak kurang memberangsangkan kepada syarikat-syarikat kontraktor.
“Tetapi, kalau tarifnya agak tinggi, sebagaimana saya sebut nilai semasanya adalah RM14 – RM15, jadi tidak ada orang mengambil jalan pintas untuk membuang di kawasan-kawasan haram. Kalau ada, sekarang pun kita ambil tindakan. Tetapi, dijangkakan akan jauh lebih baik,” ujarnya.
Jumaat lalu, Amirudin dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 yang berjumlah RM3 bilion memaklumkan kerajaan negeri bersetuju secara prinsip untuk membuka ruang kepada Kerajaan Persekutuan berkenaan pengurusan sisa pepejal.