Articles

Selangor cari kaedah terbaik pulih bekas tapak pelupusan sampah 80 hektar di Telok Kapas

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor menerusi Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) dan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) akan meneroka kaedah terbaik bagi memulihkan Telok Kapas, Klang yang juga sebahagian daripada kawasan pembangunan Selangor Maritime Gateway (SMG).

Kawasan seluas kira-kira 80 hektar itu pernah digunakan sebagai tapak pelupusan sampah oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebelum ditutup pada 2007.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim, berkata usaha rehabilitasi kawasan berkenaan sudah lama dirancang, namun berdepan kekangan kos yang tinggi.

"Dengan kerjasama dan persefahaman ini, LLSB dan KDEBWM akan meneroka kaedah bagaimana kita hendak menguruskan tempat ini supaya dapat dipulihkan dan dimanfaatkan.

"Ini bukan saja membantu dari segi pemulihan kualiti air sungai kerana air resapan masih lagi keluar, malah kita juga mahu menyelesaikan masalah sisa pepejal serta memanfaatkan kawasan strategik seluas 80 hektar itu," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara KDEBWM dan LLSB, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Izham berkata, daripada keseluruhan kawasan berkenaan, kira-kira 70 hektar adalah kawasan yang mengandungi sisa pepejal, manakala 10 hektar lagi tiada sisa.

Mengenai tempoh pemulihan, beliau berkata, berdasarkan moratorium, kawasan yang baru ditutup sebagai tapak pelupusan sisa pepejal lazimnya tidak boleh dibangunkan selama 30 tahun.

Bagaimanapun, katanya, tempoh berkenaan bergantung kepada tahap pemulihan dan rehabilitasi yang berjaya dilaksanakan.

Mengenai potensi pembangunan di kawasan itu selepas proses rehabilitasi, beliau berkata, antara cadangan awal ialah pembangunan ladang solar, selain aktiviti industri yang bersesuaian dengan tahap pemulihan tanah.