Articles

Pascabah: Selangor hantar bantuan ke Kelantan, tumpu bersih infrastruktur awam terjejas

SHAH ALAM, 16 DIS: Kerajaan Negeri menggerakkan Skuad Ihsan Madani terdiri daripada anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sukarelawan ke Kelantan bagi operasi pascabah pagi ini.

Dato’ Menteri Besar berkata pasukan melibatkan 130 kekuatan bersama 45 jentera antaranya lori tangki dan lori ‘Roll On Roll Off’ (Roro) akan melaksana kerja pembersihan bermula esok sehingga Khamis ini.

 

KDEBWM_Selangor_hantar_bantuan_ke_Kelantan-1.jpg
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melepaskan konvoi Misi Bantuan Bencana Skuad Ihsan Madani Misi #KitaSelangor Penyayang Bantuan Pasca Banjir Negeri Kelantan di Dataran SUK, Shah Alam pada 16 Disember 2024. Hadir sama EXCO Pengurusan Bencana Najwan Halimi (tiga, kanan).


Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, skuad yang turut disertai syarikat kutipan sampah negeri KDEB Waste Management (KDEBWM) menumpukan pembersihan infrastruktur awam yang terkesan selain rumah penduduk yang terjejas terus.

 

“Misi ini merupakan manifestasi dan keprihatinan negeri tanpa mengira penduduk dan lokasi. Pasukan akan bantu kerja pembersihan di kawasan kritikal dan kita utamakan kemudahan awam seperti masjid, surau atas nasihat Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).


“Selain bantuan tenaga, kita turut menyediakan bakul makanan serta bahan pencuci untuk disalur kepada mangsa daripada Yayasan MBI. Anggaran kos untuk misi ini mencecah RM400,000 yang disumbang pelbagai pihak antaranya KDEBWM dan PBT,” katanya.
 

KDEBWM_Selangor_hantar_bantuan_ke_Kelantan0img1.jpg
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyaksikan penyerahan bantuan oleh Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor dalam Majlis Pelepasan Misi Bantuan Bencana Skuad Ihsan Madani Misi #KitaSelangor Penyayang Bantuan Pasca Banjir Negeri Kelantan di Dataran SUK, Shah Alam pada 16 Disember 2024.
 

 

Ditemui selepas melepaskan konvoi skuad berkenaan di dataran bangunan pentadbiran negeri (SUK), Amirudin berkata Selangor turut menyiapkan sumber manusia ketika ini bagi mendepani kejadian banjir susulan fenomena air pasang yang berlaku ketika ini.


“Pagi tadi air pasang cecah lima meter. Semalam pun agak tinggi tetapi kita bersyukur kerana tak ada hujan lebat. Kita hanya terkesan ketika gelombang pertama (bulan lepas).


“Kita bersedia dan kumpulkan semua unit. Agensi persekutuan seperti polis, bomba memang sudah bersedia dan agensi negeri, PBT juga bersedia. Sukarelawan Selangor dan Team Selangor jalani simulasi sebagai persediaan,” katanya.


Sebelum ini, Selangor pernah menghantar pasukan bantuan beberapa kali bagi membantu mangsa banjir di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor.
 

KDEBWM_Selangor_hantar_bantuan_ke_Kelantan0img2.jpg
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menampal pelekat Skuad Ihsan Madani dalam Majlis Pelepasan Misi Bantuan Bencana Skuad Ihsan Madani Misi #KitaSelangor Penyayang Bantuan Pasca Banjir Negeri Kelantan di Dataran SUK, Shah Alam pada 16 Disember 2024.