SHAH ALAM: Syarikat pengurusan sisa pepejal Selangor, Kumpulan Darul Ehsan Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM) memastikan lebih 10,000 kakitangan termasuk di lapangan dan pejabat bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang boleh menyebabkan banjir. Selain sumber manusia, syarikat itu turut memastikan kesemua asetnya yang meliputi 600 lori kompaktor dan 700 lori tong roll-on roll-off (roro) siap sedia untuk digerakkan bagi melakukan kerja-kerja pembersihan pada pasca banjir.
“Monsun, sebenarnya kita memang ambil iktibar daripada tahun-tahun sebelum ini. Malah kita sedar, daripada September dan Oktober berlaku banjir kilat di beberapa kawasan yang rendah di negeri ini, contoh di Dengkil, Kajang, Kuala Langat, Klang dan baru-baru ini di Seksyen 13.
“Jadi, hasil daripada pengalaman berat kita pada banjir 2020, tiap-tiap tahun kita buat persediaan awal. Semua pasukan kita peka, pada Julai dan Ogos bila MTL atau Barat Daya bertiup, kita dapat maklumat air pasang tinggi, saya pun terlibat dalam operasi bencana negeri,” katanya ketika ditemui, semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, lebih 2,000 tan metrik sampah pukal sisa banjir dikutip di seluruh negeri susulan banjir besar yang memberi kesan serius kepada kawasan-kawasan seperti Taman Sri Muda di sini, Hulu Langat, Kuala Langat dan Klang.
Dalam pada itu, Ramli memberitahu, pihaknya turut membuat persediaan lebih awal termasuk memastikan kerja-kerja kutipan sampah dan pembersihan awam dilakukan mengikut jadual supaya ia tidak mengganggu proses pembersihan pada pasca banjir.
“Kita buat tiga perkara iaitu sebelum banjir atau berlakunya sebarang kemudaratan kita cuba ikut panduan kerja kita dengan sebaik mungkin. Maknanya kalau kena bersihkan longkang sebulan sekali atau dua kali kita akan cuba pastikan, kutipan sampah longgok kita ambil, bersihkan jalan ikut jadual.
“Kalau kita dapat aduan, kita terus selesaikan secepat mungkin dan akan pantau. Pasukan kita akan ekstra peka. Pengalaman masa banjir teruk, bukan suatu perkara yang mudah terutama mangsa yang mengalaminya,” jelasnya.