Lantik KDEBWM urus sisa industri atasi longgokan di tapak haram

Lantik KDEBWM urus sisa industri atasi longgokan di tapak haram

23 May 2023
 

KLANG, 23 MEI: Pentadbiran negeri bercadang melantik KDEB Waste Management (KDEBWM) untuk menguruskan sisa industri jika isu pembuangan di tapak pelupusan haram tidak selesai.

EXCO kerajaan tempatan berkata anak syarikat negeri itu mempunyai tatacara betul melupuskan sampah dan diyakini mampu menyelesaikan masalah yang membelenggu negeri sejak sekian lama.

 

Lori-sita03-1.jpgPenguatkuasa Majlis Perbandaran Kuala Langat menyita sebuah lori yang membuang sampah secara haram di Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 8 Disember 2022. Foto Facebook MPKL

 

“Mereka (pemain industri) hanya lantik kontraktor namun tidak ambil kira adakah kontraktor itu bertanggungjawab (buang sisa industri) ke tapak pelupusan sampah yang sah?

“Ini merupakan cabaran besar. Jadi, kita harap pihak terlibat beri perhatian kepada sampah-sampah tersebut yang dihasilkan kilang-kilang di Selangor,” kata Ng Sze Han.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Asrama Pekerja Mendukung Bandar Berdaya Saing Selangor di Bandar Bukit Tinggi, di sini, semalam.

Cadangan itu turut dipersetujui Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang Noraini Roslan sekiranya kontraktor dilantik pengilang masih memandang ringan isu berkenaan.

“Kalau kontraktor tidak lupus sisa industri seperti yang diarahkan, salah satu penyelesaian adalah minta ia diuruskan KDEBWM kerana kita tahu sampah dilupuskan di tempat betul,” katanya.

Beliau memaklumkan pihaknya juga memeriksa dokumen pengesahan pembuangan sampah secara berkala sebelum memperbaharui lesen panel dilantik pihak industri bagi mengawal isu berkenaan.

Sumber: Selangor Kini

Back