SHAH ALAM, 4 JUN: KDEB Waste Management (KDEBWM) menyediakan tong ‘Roll On Roll Off’ (Roro) bagi kutipan sampah pukal di 384 kawasan dalam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). Agensi itu memaklumkan inisiatif dengan kerjasama MBSA itu bagi memudahkan orang ramai membuang barangan terpakai sempena sambutan Aidiladha.
KDEBWM turut memaklumkan, urusan permohonan bantuan kutipan sampah pukal, pertanyaan dan sebarang aduan boleh dibuat melalui aplikasi iClean Selangor
iClean Selangor memudahkan orang ramai melaporkan aduan kutipan sisa pepejal secara dalam talian selain memohon khidmat pembuangan sampah pukal.
Tahun lalu, aplikasi ini memenangi anugerah Aplikasi Perkhidmatan Awam Terbaik sempena majlis Anugerah PC.Com edisi ke-23.
Orang ramai boleh memuat turun aplikasi itu di Google Play dan App Store selain menghubungi khidmat pelanggan di talian 1-800-88-2824/019-375 9592 atau WhatsApp (019-274 2824) supaya aduan diurus dengan lebih cepat dan tepat.