Menurutnya, KDEBWM menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM6,000 berbentuk wang tunai beserta hamper serta e-sijil penyertaan kepada para pemenang.
“Pemenang tempat pertama akan membawa wang tunai RM1,000 manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM700 serta RM500.
Mengulas lanjut katanya, KDEBWM akan memanfaatkan penganjuran pertandingan tersebut untuk menyebarluaskan kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai kepentingan penjagaan alam sekitar. “Kempen ini menjadi menarik kerana selain berhibur, peserta juga dapat menyampaikan mesej alam sekitar dengan lebih berkesan.
“Ia juga akan memberikan inspirasi kepada para peserta juga pengunjung untuk sama-sama menjaga alam serta menjadikan amalan mampan seperti kitar semula dalam kehidupan seharian,” katanya.
Angkat seni warisan
Dalam pada itu beliau memaklumkan, KDEBWM juga akan menyediakan beberapa pengisian menarik di reruai karnival bertempat di pekarangan Kumpulan Media Karangkraf selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Julai.
“Antara program yang akan diadakan termasuk kuiz dan flashcard kitar semula kepada pengunjung serta hebahan kemudahan aplikasi iClean yang menjadi platform pengguna membuat aduan kutipan sampah dan permohonan sampah pukal.
“KDEBWM juga akan membawa anak syarikat iaitu KDEB ICI dan KDEB Services yang akan mempromosikan produk dan servis yang ditawarkan,” tambah Ahmad Rizal.
Beliau berkata, pengunjung yang singgah ke reruai KDEBWM berpeluang melihat pameran tong kitar semula 3R selain tayangan kerja operasi pembersihan sisa domestik dan pembersihan awam di Selangor.
“Tidak ketinggalan, dipamerkan meja kerusi yang dibuat daripada barangan terpakai selain cenderamata disediakan seperti mug, selain pen daripada bahan kitar semula serta set kutleri mesra alam,” tambah Ahmad Rizal.
Promosi iClean Selangor
Ahmad Rizal berkata, penyertaan KDEBWM juga akan mempromosi aplikasi iClean Selangor yang telah diperkenalkan sejak 2017.
Katanya, dengan memuat turun aplikasi iClean Selangor, pengunjung karnival berpeluang mendapatkan hadiah istimewa daripada KDEBWM.
“Aplikasi ini sentiasa ditambah baik dan yang terbaharu bagi mereka yang muat turun iClean Selangor 3.0 akan menerima notifikasi progres aduan dari mula hingga selesai.
“Sehingga Jun 2024, lebih 118,000 pengguna aktif telah menggunakan aplikasi ini," katanya.
Ujarnya, aplikasi itu merupakan salah satu alternatif saluran yang boleh digunakan masyarakat untuk membuat aduan, mengemukakan cadangan dan membuat permohonan sampah pukal selain melalui laman web atau menghubungi talian hotline.
“Setakat Jun lalu, sebanyak 17,751 aduan kutipan sampah telah diselesaikan KDEBWM dan menunjukkan peningkatan 435 aduan berbanding 17,312 dalam tempoh sama pada tahun lalu,” katanya.
Beliau berharap penyertaan KDEBWM dalam Karnival Rakyat Karangkraf dapat mengembangkan lagi penggunaan aplikasi iClean Selangor kepada pengguna.
Pada masa sama katanya, pengunjung yang hadir juga diharap dapat memahami peranan KDEBWM yang mengendalikan kerja kutipan sampah dan pembersihan awam di Selangor.
Tambah beliau, karnival tersebut menjadi platform untuk mendidik masyarakat aspek pengurusan sampah yang betul secara berterusan.
“Statistik kutipan setiap tahun meningkat sekitar tiga peratus disebabkan pertambahan penduduk selain faktor kepesatan ekonomi melalui pembukaan sektor perkilangan.
“Semakin pesat sektor ekonomi lagi banyak sampah akan dihasilkan dan cara untuk kurangkan pembuangan sampah dengan melalui kitar semula.
“Justeru kita berharap melalui generasi baharu ini, mereka mampu membuat perubahan melalui penjagaan kebersihan,” katanya.