KDEBWM guna lori Euro 5 kurangkan pelepasan karbon di Selangor

KDEBWM guna lori Euro 5 kurangkan pelepasan karbon di Selangor

29 April 2025
 

KLANG - KDEB Waste Management (KDEBWM) mengambil langkah proaktif mengurangkan pelepasan karbon di Selangor dengan memperkenalkan lori FUSO Euro 5 Arm Roll dalam operasi kutipan sisa pepejal di negeri ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, penggunaan lori berteknologi Euro 5 itu membuktikan komitmen KDEBWM dalam memperkasakan kelestarian alam sekitar dan meningkatkan kualiti udara negeri.

Menurut beliau, piawaian Euro 5 yang digunakan pada lori baharu itu mampu mengurangkan dengan ketara pelepasan karbon dioksida (CO₂) sehingga 30 hingga 40 peratus berbanding lori Euro 3 yang digunakan sebelum ini.

"Ini bukan sekadar tentang kecekapan operasi, tetapi juga tentang tanggungjawab kita kepada rakyat Selangor untuk memastikan negeri ini lebih bersih, hijau dan lestari.

"Lori Euro 5 ini turut menawarkan penggunaan bahan api yang lebih cekap, sekali gus menurunkan kos operasi dan mengurangkan karbon bagi setiap kilometer perjalanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Lori FUSO Euro 5 Arm Roll di Hap Seng Star di sini pada Selasa.
 

Ramli memberitahu, KDEBWM mahu mencontohi langkah negara maju dalam pengurusan karbon dan alam sekitar.

"Di Eropah, isu karbon sudah lama diberi perhatian dan kami ingin mengikut jejak mereka dalam memastikan operasi kami lebih lestari serta mesra alam," katanya.
 

Beliau berkata, pengenalan lori Euro 5 turut menyokong usaha kerajaan Selangor untuk mencapai sasaran pembangunan mampan dan sejajar dengan agenda alam sekitar negara.

"Lori ini perlu dinilai setiap lima hingga enam tahun kerana sudah tiba masanya untuk menukar model sepenuhnya dan mengelakkan pembaikan berulang.

"Selain itu, kami mahu terus mengikuti perkembangan teknologi terkini," tambah beliau.

 

Ramli memberitahu, KDEBWM menyasarkan pertukaran hampir 80 peratus kepada lori Euro 5 menjelang hujung tahun ini.

"Enam unit lori yang diterima hari ini adalah sebahagian daripada 47 unit yang ditempah untuk mengendalikan kontrak baharu di kawasan Majlis Perbandaran Selayang mulai 1 Jun ini.

"Enam unit ini adalah permulaan, manakala 41 unit lagi akan dihantar tidak lama lagi dan ini adalah model pertama tahun 2025 yang akan digunakan di Selayang," katanya.

Beliau menjelaskan, KDEBWM juga akan memperluas operasi ke Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Sepang.

Ramli berkata, lori baharu itu menggunakan enjin Euro 5 yang lebih ringan dan mempunyai kecekapan lebih baik.

Ditanya mengenai penggunaan lori lama, beliau mengesahkan bahawa penggunaan model Euro 3 akan berakhir bulan depan.

Katanya, KDEBWM memiliki hampir 1,400 unit lori termasuk kompaktor dan RORO, selain pihaknya menjangka keperluan meningkat antara 10 hingga 15 peratus lagi, menjadikan jumlah keseluruhan antara 1,500 hingga 1,600 unit.

Back