KDEBWM belanja RM150,000 beli dua jentera moden bersihkan Pantai Morib

KDEBWM belanja RM150,000 beli dua jentera moden bersihkan Pantai Morib

31 January 2023
 

Oleh: Suhaila Shahrul Annuar

KUALA LANGAT, 31 JAN: KDEB Waste Management (KDEBWM) membelanjakan RM150,000 bagi pembelian dua jentera moden yang akan membersihkan kawasan pantai secara efisien dan produktif.
Pengurus besar kanan Perkhidmatan Korporatnya berkata ‘walk beach comber’ yang berharga RM70,000 dan ‘glutton electric little picker’ (RM80,000) digunakan untuk membersihkan Pantai Morib dan Pantai Baru Morib.

 

P-KDEB-MORIB-8-1.jpg

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim (tengah) mencuba mesin ‘walk beach comber’ ketika majlis pelancaran jentera pembersihan pantai dan penyerahan tong sampah bagi kawasan Morib di Pantai Morib pada 31 Januari 2023. Turut sama ADN Morib Hasnul Baharuddin (empat, kiri). Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 

“‘Walk beach comber’ adalah jentera pembersihan pantai dengan fungsi kedalaman pembersihan boleh dilaras sehingga 12 sentimeter semasa operasi dijalankan.

“Ia mampu membersih dalam keadaan pasir kering, lembap atau basah dan dilengkapi sistem penapis untuk menapis sampah di pantai seperti puntung rokok, botol, kaca, batu dan kayu,” kata Ahmad Rizal Mohd Daud.

 

P-KDEB-MORIB-3.jpg

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim (dua,kanan) bersama ADN Morib Hasnul Baharuddin (tiga, kanan) melihat penggunaan mesin ‘glutton electric little picker’ ketika majlis pelancaran jentera pembersihan pantai dan penyerahan tong sampah bagi kawasan Morib di Pantai Morib pada 31 Januari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

 

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran jentera pembersihan dan penyerahan tong sampah kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di Pantai Morib Baru hari ini.

Tambah beliau, ‘glutton electric little picker’ pula merupakan jentera mengutip sampah yang boleh menyedut sampah dengan kuasa sedutan tinggi bagi pembersihan sampah di jalan raya dan kawasan sekitar pantai.

“Sisa sampah yang dikutip akan dikumpulkan dalam tong sampah dengan kapasiti 240 liter.

“Ia adalah jentera pengutip sampah mesra alam dengan sifar pelepasan karbon selari usaha syarikat memacu penggunaan teknologi hijau bagi mendukung matlamat pembangunan mampan,” katanya.

Sumber: Selangor Kini

Back