Articles

KDEBWM ambil tanggungjawab penuh insiden lori sampah rempuh tol

KDEBWM_ambil_tanggungjawab_sepenuh-1.jpg
 

KDEB Waste Management (KDEBWM), mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas insiden lori sampah merempuh Plaza Tol Puchong Selatan di Kilometer 30.3 Lebuhraya Damansara Puchong, Jumaat lalu.

 

Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, ketika ini pihaknya sedang membuat tindakan sewajarnya serta siasatan menyeluruh berhubung insiden terbabit.

 

"Lori sampah ini dikendalikan oleh syarikat yang pernah dilantik oleh KDEBWM membuat kutipan sisa pepejal di kawasan Kajang, namun perkhidmatan itu ditamatkan berkuat kuasa 18 Jun lalu.


"Bagaimanapun syarikat terbabit belum selesai dalam urusan pindah milik dan permit kenderaan. Mereka sedang dalam proses menyiapkan urusan pindah milik kenderaan.


"Oleh itu, rekod pemilikan lori sampah masih berdaftar atas nama KDEBWM.


"Sepanjang tempoh perkhidmatan, KDEBWM sehabis baik melaksanakan pemantauan sepenuhnya dan tindakan tegas dikenakan terhadap semua syarikat kontraktor lantikan dan lori kompaktor yang melanggar terma serta syarat perjanjian," katanya dalam kenyataan.


Ramli berkata, KDEBWM memandang serius kemalangan itu yang membabitkan keselamatan pengguna jalan raya malah amat kesal dan sedih atas kejadian yang berlaku.


Justeru itu katanya, KDEBWM menetapkan beberapa langkah penambahbaikan drastik dan proaktif yang akan dijalankan iaitu meneliti semula semua prosedur dalaman bagi urusan pertukaran hak milik kenderaan dan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mempercepatkan proses pertukaran hak milik kenderaan.


"Bagi syarikat kontraktor yang tamat pembayaran sewaan kenderaan kepada KDEBWM, mereka wajib membuat pindahan hak milik dengan segera selaras dengan terma dan syarat perjanjian.


"Seterusnya, memastikan semua kontraktor lantikan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh JPJ dan APAD terutamanya memastikan pemandu memiliki lesen GDL (Goods Driver's License) bagi memandu lori kompaktor dan Armroll/RORO.


"KDEBWM akan memastikan semua kontraktor lantikan mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan JPJ dan APAD dan pembayaran saman yang dikenakan atas pelbagai jenis kesalahan jalan raya diselesaikan dengan segera supaya tidak mengganggu kelancaran operasi harian KDEBWM," katanya.


Selain itu katanya, KDEBWM akan terus memberikan latihan dan bimbingan secara bersepadu kepada pemandu dengan kerjasama pihak berkuasa bagi membangunkan pemandu yang kompeten mengendali kenderaan lori sampah dalam operasi harian.


"Pihak KDEBWM dengan rasa rendah diri ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul akibat kemalangan ini dan menghargai kerjasama semua pihak berhubung kejadian ini," katanya.

Source:  www.careta.my