Articles

KDEBWM ambil tanggungjawab kes lori sampah rempuh plaza tol LDP

KDEBWM_ambil_tanggungjawab_kes_lori-1.jpg
Foto fail klip video tular memaparkan saat-saat lori sampah merempuh tembok konkrit di Plaza Tol Puchong Selatan, Jumaat lalu.
 


SHAH ALAM: KDEB Waste Management (KDEBWM), mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas insiden membabitkan lori sampah yang merempuh Plaza Tol Puchong Selatan di KM30.3, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Jumaat lalu.


Pengarah Urusan KDEBWM, Datuk Ramli Mohd Tahir, berkata tindakan sewajarnya dan siasatan menyeluruh sedang dilakukan.


"Lori sampah ini dikendalikan oleh Syarikat V Ibrahim Enterprise yang dilantik KDEBWM membuat kutipan sisa pepejal di kawasan Kajang, namun perkhidmatan syarikat itu ditamatkan berkuat kuasa 18 Jun lalu.


"Bagaimanapun, syarikat terbabit belum selesai dalam urusan pindah milik dan permit kenderaan dan sedang menyiapkannya, maka rekod pemilikan lori sampah masih berdaftar atas nama KDEBWM.
 

"Sepanjang tempoh perkhidmatan, KDEBWM melaksanakan pemantauan sepenuhnya dan tindakan tegas terhadap semua syarikat kontraktor lantikan dan lori kompaktor yang melanggar terma dan syarat perjanjian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, KDEBWM akan meneliti semula semua prosedur dalaman bagi urusan pertukaran hak milik kenderaan dan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi mempercepat proses pertukaran hak milik kenderaan.
 

"Syarikat kontraktor yang tamat pembayaran sewaan kenderaan kepada KDEBWM wajib membuat pindahan hak milik segera, selaras terma dan syarat perjanjian.


"KDEBWM dengan rendah diri memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul akibat kemalangan ini dan menghargai kerjasama semua pihak," katanya.

Source:  malaysia.shafaqna.com