SHAH ALAM, 11 NOV: Pengurusan sampah seharusnya menjadi tanggungjawab bersama dan bukan terletak pada bahu agensi berkaitan semata-mata, tegas pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM). Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata semua pihak perlu serius berhubung aspek itu jika mahu melihat negara maju sekali gus mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG).
Beliau menekankan sikap kebertanggungjawaban terhadap sisa mesti dipupuk dalam diri setiap masyarakat bagi menjamin persekitaran lebih bersih dan kondusif.
“Seluruh dunia ada enam bilion rakyat dan Malaysia sahaja 36 juta, jadi bukan senang untuk kawal orang buang sampah. Tetapi ia mesti punya asas jati diri bahawa sampah ini adalah sampah kita.
“Cakaplah pasal SDG atau ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) sekalipun, jika kawasan persekitaran kotor tidak mungkin kita boleh bawa negara ke tahap lebih tinggi. Kita mesti bersama-sama dan sensitif berkenaan hal ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas sesi perkongsian “Smart Waste Management for Smart State” sempena World Urban Forum ke-12 (WUF12) di Pusat Pameran Antarabangsa Egypt, Kaherah pada 7 November lalu.
Ramli juga menyentuh pengurusan sisa di Mesir yang perlu ditambah baik terutama daripada segi penjadualan kutipan, penggunaan aset, kemudahan tong sampah dan penguatkuasaan.
Beliau melihat tidak banyak kemudahan tong sampah disediakan di kawasan rumah dan pangsapuri selain sapuan jalanan khususnya di Kaherah Lama, sepanjang beberapa hari berada di negara terbabit.
“Malah orang awam juga buang sampah begitu sahaja, seolah-olah tidak ada rasa kebertanggungjawaban bahawa sampah itu sampah dia.
“Justeru, perlu ada kesedaran awal daripada kerajaan mereka terap nilai-nilai murni di peringkat sekolah lagi,” katanya yang mengakui sukar untuk KDEBWM menembusi pasaran negara terbabit bagi kerjasama perkongsian pengurusan sisa.