Sustainability and CSR Activities

KDEBWM, Right On Track Sdn Bhd dan UUM KL Santuni 120 Anak Yatim dan Pelajar Tahfiz Sempena Ramadan

Shah Alam, 9 Mac 2026- Seramai 120 anak yatim dan pelajar tahfiz dari sekitar Shah Alam diraikan dalam Majlis Iftar Ramadan yang dianjurkan oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) dengan kerjasama Right On Track (ROT) dan Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur Campus (UUMKL) sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyantuni golongan yang memerlukan.
Program yang julung kali dilaksanakan melalui kerjasama tiga pihak ini melibatkan 65 orang anak-anak yatim dan 55 orang pelajar tahfiz, yang diraikan sempena bulan Ramadan dalam usaha memberikan kegembiraan kepada mereka menjelang sambutan Aidilfitri.Daripada jumlah tersebut, 50 orang anak-anak yatim adalah daripada Rumah Anak Yatim Baitus Sofwah, manakala 15 orang lagi daripada Rumah Kasih Harmoni. Sementara itu, 55 orang pelajar tahfiz yang diraikan merupakan pelajar daripada Rumah Tahfiz Seksyen 13.
Melalui program ini, KDEBWM bersama Right On Track Sdn Bhd telah menaja pakaian Hari Raya serta juadah berbuka puasa kepada semua anak-anak yatim dan pelajar tahfiz yang diraikan, manakala Universiti Utara Malaysia Kuala Lumpur Campus turut menyediakan sukarelawan dalam kalangan pelajar universiti bagi membantu menyantuni serta meraikan para pelajar sepanjang program berlangsung.
Majlis dihadiri oleh Pengarah Urusan KDEB Waste Management, YBhg. Dato’ Hj Ramli Mohd Tahir, En Arif Fahmy Sulaiman Khan, Pengarah Urusan Right On Track, Professor Dr Norlena Hasnan, Provost UUMKL, Professor Madya Dr Nik Adzrieman Abdul Rahman, Dekan UUMKL, Tn Hj Ahmad Rizal Mohd Daud, Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat, Tuan Mohd Idris Mohamed Yusof, Pengurus Besar Operasi.
Turut hadir Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Operasi Cawangan, Ketua Anak-anak Syarikat KDEBWM, warga kerja KDEBWM dan anak-anak Syarikat , anak-anak yatim, anak-anak tahfiz dan guru-guru pengiring.
Program ini merupakan satu usaha bersama dalam memastikan golongan anak-anak yatim dan pelajar tahfiz turut merasai kegembiraan sepanjang bulan Ramadan.
Keseluruhan program ini melibatkan jumlah penajaan sebanyak RM40,000, yang merangkumi penyediaan pakaian Hari Raya, juadah berbuka puasa serta pelaksanaan program kebajikan berkenaan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen KDEB Waste Management dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat yang memberi manfaat kepada masyarakat, di samping memperkukuhkan kerjasama strategik antara organisasi,” katanya.
Program tersebut turut selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals – SDG) khususnya SDG 17: Partnerships for the Goals, yang menekankan kepentingan kerjasama antara pelbagai pihak, serta SDG 2: Zero Hunger. Pada masa yang sama, usaha menyantuni anak-anak yatim dan pelajar tahfiz ini juga selari dengan tuntutan Islam yang menggalakkan umatnya membantu serta mengambil berat terhadap golongan yang memerlukan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Penganjuran program CSR ini turut membuktikan bahawa kerjasama antara sektor korporat, organisasi sosial dan institusi pendidikan mampu mewujudkan impak yang lebih besar dalam membantu masyarakat serta menyemai nilai kepedulian sosial dalam komuniti.
JABATAN MEDIA & PERHUBUNGAN AWAM
KDEB Waste Management
#KDEBWM
#KITASelangor
#CSR