Official Events

MAJLIS PENYERAHAN LORI KOMPAKTOR DAN PELANCARAN IMEJ BAHARU KDEBWM DI BAWAH KAWASAN PENTADBIRAN MAJLIS PERBANDARAN KUALA LANGAT

IBU PEJABAT KUALA LANGAT
30 JUN 2025 (ISNIN) - KDEB Waste Management (KDEBWM) hari ini melakar satu lagi pencapaian bermakna apabila melancarkan lori kompaktor baharu serta memperkenalkan imej korporat terkini bersempena pembaharuan kontrak kutipan sisa domestik di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

Majlis yang berlangsung di Perkarangan Parkir Ibu Pejabat Kuala Langat ini turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat iaitu Yang Berusaha Tuan Mohd Hasry Bin Nor Mohd, Yang Dipertua MPKL; Yang Berbahagia Dato’ Haji Ramli Bin Mohd Tahir, Pengarah Urusan KDEBWM; Yang Berusaha Encik Zulkefli Bin Mohamed Arif, Timbalan Setiausaha MPKL; Yang Berusaha Puan Norain Binti Mohamed, Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran MPKL; serta barisan Ketua-Ketua Whip dan Ahli Majlis MPKL.
Turut hadir adalah pengurusan tertinggi kedua-dua pihak dan warga kerja MPKL serta KDEBWM yang memainkan peranan penting dalam kelangsungan pengurusan sisa di daerah ini.

Pelancaran ini bukan sekadar simbolik kepada wajah baharu lori kompaktor dan lori Armroll (RORO) KDEBWM, malah menandakan kesinambungan hubungan strategik antara KDEBWM dan MPKL yang telah terjalin sejak tahun 2018.

Ia juga memperkukuh keyakinan pihak berkuasa tempatan terhadap kredibiliti serta keupayaan KDEBWM dalam menyediakan perkhidmatan kutipan yang lebih cekap, sistematik dan lestari.

KDEBWM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak MPKL atas kerjasama erat dan sokongan padu yang diberikan sepanjang tempoh ini.

Kami kekal komited untuk terus membina ekosistem pengurusan sisa yang mampan, lestari dan sejahtera buat seluruh rakyat Selangor.
#KDEBWM #MPKL #LoriKompaktorBaharu #PengurusanSisaLestari