Managing Director Statement

Managing Director Statement

 


PERUTUSAN TAHUN 2020 PENGARAH URUSAN 

Bismillahirrahmannirrahim
Assalammualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh.
Syukur ke hadrat Allah S.W.T atas segala nikmat dah rahmatNya kepada saya dan seluruh warga kerja KDEB Waste Management.

Melangkah ke Tahun 2020,  dengan tekad dan azam yang jitu didokong dengan semangat “Together We Keep Selangor Clean”, demi memastikan agenda kebersihan dan kelestarian alam dipelihara di  Negeri Selangor ini.

Iltizam dan tekad tersebut telahpun dibuktikan dengan beberapa kejayaan KDEB Waste Management di tahun 2019. Mulai 1 Januari 2020, KDEB Waste Management akan beroperasi di kawasan Shah Alam. Ia akan melengkapkan operasi KDEB Waste Management di semua Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Selangor.

Terdahulu, KDEB Waste Management telahpun bersetuju menerima tawaran  dari Majlis Daerah Kuala Langat bagi mengambilalih pengurusan sampah domestik, pukal dan kebun dari kilang-kilang industri.

KDEB Waste Management juga akan mengambilalih pengurusan pembersihan di taman-taman permainan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Klang, serta mengambilalih pengurusan sampah di kampung-kampung tradisi di kawasan di bawah pentadbiran Majlis Daerah Kuala Selangor. Terima kasih kepada Pihak Berkuasa Tempatan yang terus mempercayai keupayaan dan kredibiliti KDEB Waste Management.
 
Tentunya kejayaan-kejayaan perniagaan yang dicipta ini tidak mungkin berhasil tanpa usaha gigih dan komitment dari warga kerja KDEB Waste Management dan para subkontrator.
Saya masih berpegang kepada prinsip modal insan adalah asset terpenting sesebuah organisasi. Modal insan yang berdedikasi dibantu oleh penggunaan asset-asset yang teknologi tinggi dan bersesuaian, dapat melancarkan urusan operasi harian syarikat.

Inisiatif KDEB Waste Management tidak terhenti kepada kutipan sampah domestik dan pembersihan awam sahaja. Prihatin kepada penjagaan alam sekitar, KDEB Waste Management mengorak langkah menekankan usaha kitar semula. Sebuah Pusat Kitar Semula berskala besar telah dibangunkan oleh KDEB Waste Management di kawasan Perindustrian Meru di Klang, Selangor. Bagi peringkat permulaan, para subkontraktor mengurus kutipan sampah di kawasan Klang diwajibkan untuk menghantar barangan kitar semula ke pusat kitar semula tersebut untuk diasingkan dan diproses.

Penggunaan plastik oxo-biodegradable mudah urai dan lupus telahpun diperkenalkan dan dilaksanakan untuk digunapakai oleh para subkontraktor pembersihan awam. Pelaksanaan diperingkat awal ini dimulakan di kawasan Klang, Selayang, Ampang Jaya dan Subang Jaya. Projek printis ini diharap akan berjaya dan akan diluaskan penggunaannnya di lain-lain kawasan di Negeri Selangor.

KDEB Waste Management sentiasa mendahulukan kepentingan Negeri Selangor dalam urusan operasi perniagaannya. Segala inisiatif yang diperkenalkan dan dilaksanakan sentiasa memastikan impak positif kepada perkembangan sosio-ekonomi Negeri Selangor.
Justeru, beberapa inisiatif telahpun dirangka melalui pelan perniagaan pintar 2020 bagi mengukuhkan pengurusan sisa pepejal sekaligus menawarkan penyelesaian yang praktikal dan tuntas.

Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Tahun 2020 kepada semua warga kerja dan seluruh rakyat Selangor. Semoga KDEB Waste Management terus maju dan menjadi pemangkin kepada Selangor sebagai Negeri Pintar 2025.
 
Sekian, Terima kasih. Wassalam

“Together We Keep Selangor Clean”
 
RAMLI MOHD TAHIR
Pengarah Urusan
1 Januari 2020